JANUARI 2024

Johor Pelajari Kejayaan Sarawak Bangunkan Infrastruktur


KUCHING: Sarawak sentiasa menerokai dan mengguna pakai teknologi dan sistem terbaharu dalam membangunkan infrastruktur lebih baik, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, untuk itu Sarawak bersedia belajar daripada Johor yang banyak mencapai kemajuan dalam pembangunan infrastruktur.

“Johor hampir mencapai 100 peratus dalam pembangunan infrastruktur,” katanya semasa menerima kunjungan rombongan dari Johor yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastrukturnya, Tan Sri Mohamad Fazli Mohamad Salleh di pejabatnya, di sini hari ini.

Lawatan tersebut untuk menimba pengalaman Sarawak membangunkan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) yang kini 98 peratus siap.

Justeru, katanya, ini adalah peluang bagi Sarawak untuk belajar daripada Johor berhubung penggunaan teknologi membangunkan infrastruktur.

Mengenai projek LPB, Uggah berkata, pembinaannya seperti kebanyakan projek infrastruktur lain turut terjejas akibat pandemik Covid-19.

Sungguhpun berhadapan dengan banyak cabaran, beliau berkata, penyertaan kontraktor yang baik dengan sumber kewangan yang teguh telah berjaya menyiapkan lebuh raya itu.

Mohamad Fazli yang turut berucap pada majlis itu berkata, Johor kini dalam proses melebarkan Lebuh raya Plus bagi menampung aliran kenderaan yang semakin meningkat.

“Kita mendapati Sarawak mencapai banyak kemajuan dalam sektor pembinaan infrastruktur dan salah satu daripadanya ialah kejayaan mengendalikan pembinaan LPB sepanjang 786 kilometer,” tegas beliau.

“Kita berkunjung ke sini untuk mempelajari kejayaan dan pengalaman Sarawak mengendalikannya,” kata Mohmad Fazli.

Menurutnya, oleh kerana Johor sekarang berusaha untuk menarik lebih banyak pelaburan asing, infrastrukturnya hendaklah dipertingkatkan.

Timbalan Pengarah JKR, Dr. Cassidy Morris menyampaikan taklimat mengenai projek LPB, Jalan raya Utama Kedua Sarawak, Jalan raya Pesisir, Sarawak-Sabah Link Road Fasa Satu dan Dua dan Lebuh raya Trans Borneo kepada rombongan itu. Hadir sama Timbalan Menteri MIPD, Datuk Ir. Aidel Lariwwo dan Setiausaha Tetap MIPD, Datu Chiew Chee Yaw.

Sumber dari : Jiwa Bakti